Monday, June 1, 2020

ADAKAH PEMANDU MABUK WAJAR DIKENAKAN HUKUMAN BERAT?


Oleh : Muhammad Naim Bin Sadoon
Tarikh : 2 Jun 2020

          Mutakhir ini, isu pemandu mabuk semakin membimbangkan. Hampir setiap minggu kita disajikan dengan kes kemalangan yang membabitkan pemandu mabuk sehingga meragut nyawa pengguna jalan raya yang lain.
.
         Statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) menujukkan 21 kes kemalangan membabitkan pemandu mabuk sepanjang lima bulan pertama tahun ini dengan lapan mangsa kehilangan nyawa. 
.
         Semua pihak perlu berganding bahu seperti aur dengan tebing dalam berhadapan isu ini. Kesan daripada tindakan memandu di bawah pengaruh alkohol bukan hanya kepada individu tetapi kepada sosial masyarakat itu sendiri.
.
        Ketika ini, kesalahan di bawah Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 menetapkan hukuman penjara mandatori antara tiga hingga 10 tahun dan denda RM8,000 hingga RM20,000. 
.
Hal ini bermakna, hukuman minimum ialah penjara tiga tahun dan denda sekurang-kurangnya RM8,000 di samping lesen memandu digantung dan pesalah tidak layak memohon lesen memandu selama lima tahun.
.
        Menurut Harian Metro bertarikh 30 Mei 2020 yang bertajuk “ PM mahu hukuman lebih berat terhadap pemandu mabuk”, harus disokong oleh semua masyarakat. 
.
Cadangan pihak kerajaan untuk meningkatkan hukuman tersebut merupakan suatu langkah yang baik supaya pisang tidak berbuah dua kali. Kerajaan juga perlu mempertimbangkan pembayaran pampasan yang tinggi kepada waris jika mangsa yang meninggal ialah ketua keluarga.
.
        Memang tidak dapat dinafikan, terdapat peruntukan undang-undang khusus mengenai konsep ini (ganti rugi atau pampasan) iaitu di bawah Seksyen 432 Kanun Acara Jenayah di negara ini. Namun peruntukan ini perlu dikaji semula termasuk memberi ruang kepada pihak mangsa atau waris mangsa menentukan kadar ganti rugi yang wajar. 
.
Kajian juga perlu dilakukan supaya mekanisme pembayaran pampasan itu bersesuaian dengan kaedah yang diguna pakai hari ini iaitu insurans dan takaful.
.
       Dalam keadaan negara-negara dunia memandang serius akan isu ini, kita tidak boleh hanya berpeluk tubuh dan berdiam diri sahaja. Sebagai contoh di United Kingdom, hukuman penjara sehingga 14 tahun boleh dikenakan bagi kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah sehingga menyebabkan kematian kepada pengguna lain. 
.
Di Taiwan pula, sudah ada undang-undang memperuntukkan hukuman mati kepada pemandu mabuk menyebabkan kematian. Kita juga perlu bergerak maju supaya duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara-negara maju yang lain.
.
           Kesimpulannya, memandu di bawah pengaruh alkohol merupakan perkara yang tidak bermoral malah ditegah oleh agama Islam dan wajar dikenakan hukuman berat. Islam amat menitikberatkan penjagaan nyawa dan akal manusia. Kedua-dua perkara tersebut boleh rosak disebabkan alkohol. 
.
Penjagaan nyawa dan akal ini bertepatan dengan maqasid atau tujuan syariat itu sendiri iaitu menjaga agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.

No comments:

Post a Comment

ADAKAH PEMANDU MABUK WAJAR DIKENAKAN HUKUMAN BERAT?

Oleh : Muhammad Naim Bin Sadoon Tarikh : 2 Jun 2020           Mutakhir ini, isu pemandu mabuk semakin membimbangkan. Hampir setiap minggu ki...